Friday 20 July 2018

BOLEH KE HIBAH HARTANAH YANG DALAM HUTANG

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA HIBAH HARTANAH BERCAGAR



Baru ni saya hadir satu pembentangan kertas kerja bertajuk  Hibah Hartanah Bercagar: Prinsip, Aplikasi, Dan Pandangan Mahkamah yang diadakan di Tetuan Nazri Azmi Islinda, Cheras, KL. Bengkel ringkas suku hari ini menyajikan perbahasan kesahan menghadiah atau memberi secara sukarela (HIBAH) hartanah yang masih dalam  hutang. Isunya, boleh atau tidak dari perspektif mahkamah syariah.


Tuan Termizi Abdullah adalah antara individu peguam yang sering berkongsi berkenaan harta pusaka seputar Faraid, Wasiat & Hibah di Facebook. Saya antara follower beliau.


Berbalik kepada perbahasan, saya senarai pendekkan 3 perkara asas yang patut dimaklumi terlebih dahulu oleh orang awam berkaitan isu ini.

1. Kedudukan perbahasan hibah hartanah bercagar.

a. Hibah bererti pemberian milik seseorang kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa mengharap balasan.
b. Hartanah bercagar bermaksud segala bentuk aset-aset yang terbina atas tanah seperti rumah atau bangunan yang masih dalam hutang.
c. Hibah adalah kes dibawah kendalian bidang kuasa mahkamah syariah. Hibah atau nama lainnya alang adalah hak eksklusif  mahkamah syariah.
d. Hibah terbahagi kepada dua. Hibah umra & hibah ruqba. Perbahasan ini sangat komplikated. Namun penulis hanya ingin menyentuh Hibah Ruqba kerana Hibah Hartanah bercagar adalah salah satu daripada jenis Hibah Ruqba.
e. Hibah Ruqba adalah pemberian harta kepada seseorang. Efektif  hibah itu hanya terjadi setelah pemberi hibah meninggal dunia.



  
                     (Gambar penulis bersama Tuan Termizi Abdullah, pembentang kertas kerja)


2. Perbahasan ulama tentang kesahan hibah hartanah bercagar.

a. Ulama berbeza pandangan berkenaan hibah hartanah bercagar. Wujud dua kelompok kumpulan yang berbeza dari sudut konsep hibah sehingga menatijahkan hukum-hukum furui'yyah yang berbeza;
b. Mazhab Syafie & Hambali melihat transaksi hibah seumpama transaksi jualbeli (wujud elemen ijab qabul, qabd & tasarruf). Manakala Mazhab Maliki & Hanafi melihat hibah sebagai suatu perbuatan tabarru' (sedekah atau derma). 
c. Dua perbezaan konsep iaitu jualbeli & tabarru' ini telah menyebabkan perbahasan hukum seterusnya berbeza.
d. Oleh yang demikian, tidak mustahillah jika keputusan mahkamah syariah dalam kes pengesahan hibah hartanah bercagar berbeza antara satu sama lain. Selain berpunca dari ketiadaan suatu dokumen/pekeliling/kaedah/enakmen, ia turut terkesan dari perbezaan pandangan ulama. 


3. Pandangan bagi suasana semasa di Malaysia.

a. Sememangnya hutang menjadi hal yang 'wajib' bagi rakyat Malaysia. Kita tidak mahu berhutang, tetapi keadaan dan suasana mendesak kita untuk berhutang. Nak beli rumah (tempat perlindungan),  kereta (pengangkutan bagi kegunaan harian) semuanya mendesak kita untuk berhutang. Hampir mustahil untuk lari dari hutang. 
b. Mengenalpasti hal darurat (keperluan bersangatan) ini, maka menjadi kewajaran untuk kita beri'timad (berpegang) kepada pandangan dari mazhab Maliki & Hambali dalam pengaplikasian menghibah hartanah yang masih dalam cagaran (hartanah dalam status berhutang). 
c.  Ia tidak terhenti disitu sahaja, hartanah bercagar hakikatnya dalam status separa pemilikan. Harta tersebut tidak sepenuhnya menjadi milik kita. Oleh yang demikian sewajarnya/ sebaiknya/ sebolehnya sebagai contoh, rumah, untuk mempunyai takaful sebagai perlindungan seperti MRTT/MRTA sebagai jaminan perlindungan untuk kelayakan menghibah. 


Khulosah;

Nak menang kes hibah di Mahkamah memang 50-50. Tiada statut khusus yang menjadi panduan untuk kes hibah. Memang terletak kepada hakim untuk pertimbangan keputusan. Lagi-lagi bila bertembung dua kutub pandangan mazhab dalam kes hibah hartanah bercagar. NAMUN, ada caranya untuk kes ini. Pembentang sendiri kata itu adalah intellectual property beliau. Ia lebih kepada kebijaksanaan pengurusan teknikal dan prosedur. Saya tidak akan dedahkan disini bagi menghormati khazanah beliau. kalau nak saya kena tanya dulu tuan empunya badan.

Satu pesanan akhir saya kepada seluruh pembaca, hibah bukanlah jalan untuk lari dari hukum Faraid. Walapun lari sikit dari perbahasan, tapi saya berasa tanggungjawab untuk maklum supaya umat islam tidak menyalahgunakan konsep hibah sebagai jalan halal lari dari Faraid.  

Sekian
Selamat Membaca

p/s: Penulisan diatas tidak mengambarkan seluruh pembentangan Tuan Termizi Abdullah. Kebanyakannya olahan dari saya, tapi tidak lari jauh dari perbincangan dalam bengkel tersebut. In Shaa Allah.

Syukri Alimar Shidi
Lawyer Syarie To Be

No comments:

Post a Comment

BOLEH KE HIBAH HARTANAH YANG DALAM HUTANG

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA HIBAH HARTANAH BERCAGAR Baru ni saya hadir satu pembentangan kertas kerja bertajuk  Hibah Hartanah Berc...