Friday 20 July 2018

BOLEH KE HIBAH HARTANAH YANG DALAM HUTANG

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA HIBAH HARTANAH BERCAGAR



Baru ni saya hadir satu pembentangan kertas kerja bertajuk  Hibah Hartanah Bercagar: Prinsip, Aplikasi, Dan Pandangan Mahkamah yang diadakan di Tetuan Nazri Azmi Islinda, Cheras, KL. Bengkel ringkas suku hari ini menyajikan perbahasan kesahan menghadiah atau memberi secara sukarela (HIBAH) hartanah yang masih dalam  hutang. Isunya, boleh atau tidak dari perspektif mahkamah syariah.


Tuan Termizi Abdullah adalah antara individu peguam yang sering berkongsi berkenaan harta pusaka seputar Faraid, Wasiat & Hibah di Facebook. Saya antara follower beliau.


Berbalik kepada perbahasan, saya senarai pendekkan 3 perkara asas yang patut dimaklumi terlebih dahulu oleh orang awam berkaitan isu ini.

1. Kedudukan perbahasan hibah hartanah bercagar.

a. Hibah bererti pemberian milik seseorang kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa mengharap balasan.
b. Hartanah bercagar bermaksud segala bentuk aset-aset yang terbina atas tanah seperti rumah atau bangunan yang masih dalam hutang.
c. Hibah adalah kes dibawah kendalian bidang kuasa mahkamah syariah. Hibah atau nama lainnya alang adalah hak eksklusif  mahkamah syariah.
d. Hibah terbahagi kepada dua. Hibah umra & hibah ruqba. Perbahasan ini sangat komplikated. Namun penulis hanya ingin menyentuh Hibah Ruqba kerana Hibah Hartanah bercagar adalah salah satu daripada jenis Hibah Ruqba.
e. Hibah Ruqba adalah pemberian harta kepada seseorang. Efektif  hibah itu hanya terjadi setelah pemberi hibah meninggal dunia.



  
                     (Gambar penulis bersama Tuan Termizi Abdullah, pembentang kertas kerja)


2. Perbahasan ulama tentang kesahan hibah hartanah bercagar.

a. Ulama berbeza pandangan berkenaan hibah hartanah bercagar. Wujud dua kelompok kumpulan yang berbeza dari sudut konsep hibah sehingga menatijahkan hukum-hukum furui'yyah yang berbeza;
b. Mazhab Syafie & Hambali melihat transaksi hibah seumpama transaksi jualbeli (wujud elemen ijab qabul, qabd & tasarruf). Manakala Mazhab Maliki & Hanafi melihat hibah sebagai suatu perbuatan tabarru' (sedekah atau derma). 
c. Dua perbezaan konsep iaitu jualbeli & tabarru' ini telah menyebabkan perbahasan hukum seterusnya berbeza.
d. Oleh yang demikian, tidak mustahillah jika keputusan mahkamah syariah dalam kes pengesahan hibah hartanah bercagar berbeza antara satu sama lain. Selain berpunca dari ketiadaan suatu dokumen/pekeliling/kaedah/enakmen, ia turut terkesan dari perbezaan pandangan ulama. 


3. Pandangan bagi suasana semasa di Malaysia.

a. Sememangnya hutang menjadi hal yang 'wajib' bagi rakyat Malaysia. Kita tidak mahu berhutang, tetapi keadaan dan suasana mendesak kita untuk berhutang. Nak beli rumah (tempat perlindungan),  kereta (pengangkutan bagi kegunaan harian) semuanya mendesak kita untuk berhutang. Hampir mustahil untuk lari dari hutang. 
b. Mengenalpasti hal darurat (keperluan bersangatan) ini, maka menjadi kewajaran untuk kita beri'timad (berpegang) kepada pandangan dari mazhab Maliki & Hambali dalam pengaplikasian menghibah hartanah yang masih dalam cagaran (hartanah dalam status berhutang). 
c.  Ia tidak terhenti disitu sahaja, hartanah bercagar hakikatnya dalam status separa pemilikan. Harta tersebut tidak sepenuhnya menjadi milik kita. Oleh yang demikian sewajarnya/ sebaiknya/ sebolehnya sebagai contoh, rumah, untuk mempunyai takaful sebagai perlindungan seperti MRTT/MRTA sebagai jaminan perlindungan untuk kelayakan menghibah. 


Khulosah;

Nak menang kes hibah di Mahkamah memang 50-50. Tiada statut khusus yang menjadi panduan untuk kes hibah. Memang terletak kepada hakim untuk pertimbangan keputusan. Lagi-lagi bila bertembung dua kutub pandangan mazhab dalam kes hibah hartanah bercagar. NAMUN, ada caranya untuk kes ini. Pembentang sendiri kata itu adalah intellectual property beliau. Ia lebih kepada kebijaksanaan pengurusan teknikal dan prosedur. Saya tidak akan dedahkan disini bagi menghormati khazanah beliau. kalau nak saya kena tanya dulu tuan empunya badan.

Satu pesanan akhir saya kepada seluruh pembaca, hibah bukanlah jalan untuk lari dari hukum Faraid. Walapun lari sikit dari perbahasan, tapi saya berasa tanggungjawab untuk maklum supaya umat islam tidak menyalahgunakan konsep hibah sebagai jalan halal lari dari Faraid.  

Sekian
Selamat Membaca

p/s: Penulisan diatas tidak mengambarkan seluruh pembentangan Tuan Termizi Abdullah. Kebanyakannya olahan dari saya, tapi tidak lari jauh dari perbincangan dalam bengkel tersebut. In Shaa Allah.

Syukri Alimar Shidi
Lawyer Syarie To Be

Sunday 15 July 2018

BERDEPAN MAKHLUK HALUS DALAM MAHKAMAH




Baru-baru saya menghadiri seminar pengendalian kes makhluk halus di mahkamah syariah anjuran JAKESS di Shah Alam pada 4 & 5 Julai 2018. Alhamdulillah, diskusi yang sangat bermanfaat dan menyegarkan. Dalam penulisan kali ini saya ingin kongsikan kepada anda beberapa info penting berkenaan seminar ini. 

Baca sahaja tajuk Pengendalian Kes Makhluk Halus di Mahkamah. Mesti ramai terfikir adakah makhluk halus ni dibicarakan di Mahkamah? Huhu Sebenarnya bukan begitu, mana mungkin makhluk halus dibicara di mahkamah.  Sebenarnya keseluruhan isi seminar ini menjelaskan, bagaimana mengendali sesuatu urusan kes bilamana pihak-pihak yang terlibat mengaku bahawa mereka disihir oleh orang lain.

Contoh mudah, Toyyib telah menceraikan isteri dia dengan talak 3. Bila pergi ke mahkamah untuk pengesahan cerai. Toyyib mengaku bahawa beliau disihir dan tidak menyedari peristiwa tersebut. Bagaimana hakim atau peguam ingin menentukan kebenaran bahawa Toyyib benar-benar disihir. Apakah elemen-elemen yang menjustifikasikan kebenaran Toyyib. Bagaimana menentukan bahawa hal yang dialami itu samada penyakit mental atau sihir. Inilah gambaran asas seminar tersebut.

Terlalu banyak info penting yang ingin saya kongsikan dibawah, namun saya kira cukup sekadar poin-poin sahaja. Nanti di bawah saya terangkan satu benda penting. Baca dulu poin2 ni ya.

Antara poin-poin penting dalam seminar;
1. Pengenalan alam jin (Asal usul, Ayat quran & hadis, doa pelindung)
2. Sejarah Sihir.
3. Kes-kes berkait Makhluk halus ( Yg famous kes Mona Fendy)
4. Forensik Metafizik
5. Sihir berdasarkan Mens Rea & Actus Rea
6. Mengesan pengamal sihir?
7. Beban pembuktian dari pendakwa.
8. Pengenalan kepada simptom-simptom lazim sihir.
9. Seksyen yang terkait dalam enakmen/akta berkaitan makhluk halus.
10. Pendedahan kepada prosedur teknikal penyelidikan & usaha sama pelbagai pihak.
11. Pengenalan kepada skala GSP 48.

Inilah antara beberapa poin yang sempat saya catatkan sepanjang seminar, saya lihat kebanyakan pembentang lebih banyak menghuraikan poin-poin penting ketika dalam seminar berbanding catatan dalam kertas kerja.

Antara banyak-banyak poin diatas. Saya akan terangkan tentang forensik metafizik (FM). FM ni bermaksud satu proses pengkajian, penyelidikan dan penyiasatan dalam hal-hal mistik. Dia membahaskan bagaimana sesuatu forensik (baca; siasatan) dijalankan pada benda-benda metafizik (baca;mistik)

Di bawah ini adalah 3 langkah/kaedah/cara melakukan sihir. Jadinya, bila sesuatu kes berlaku dan  orang lain atau mangsa sendiri mengakui telah disihir. Antara kaedah penentuan kebenaran tersebut adalah dengan mengikuti 3 langkah di bawah.



1. KHADAM SIHIR.

khadam disini memberi erti kewujudan persefahaman (MoU) atau seruan antara penyihir dengan makhluk halus. Dari aspek kehakiman, kewujudan khadam ini boleh dilihat melalui tempat pemujaan  dan mantera-mantera yang digunakan. Kebiasaaanya penyihir akan menggunakan 'orang tengah' atau syaitan untuk menyempurnakan sihir tersebut. Maka wujud la bentuk pemujaan dan pematuhan syarat.

2. BAHAN SIHIR.

Kita mampu mengetahui bentuk/jenis sihir yang digunakan penyihir, hanya dengan melalui bahan-bahan sihir. Kebiasaan bahan-bahan yang digunakan adalah dari asal tubuh mangsa seperti rambut, kuku (apa-apa sahaja melibatkan dna). Selain itu, bahan-bahan fizikal seperti pakaian boleh juga dijadikan bahan sihir.

Kita sendiri mampu menilai samada wujud atau tidak sihir tersebut. Lihat sahaja pada elemen-elemen ketika proses pemujaan. Limau, pulut, beras, garam, pisau, darah, tengkorak dsbnya. Ini semua bahan-bahan untuk sihir. Bayangkan anda jumpa barang-barang ini dalam rumah seseorang, bukankah kita sendiri mencurigai hal tersebut. Atau sebenarnya kita menganggap hal itu biasa? Mustahil.  Sebab itu saya katakan bahawa kita sendiri boleh menilai berkenaan kewujudan sihir tersebut hanya dengan mengenalpasti bahan-bahan sihir.

3. KAEDAH SIHIR.

Kaedah sihir ini, lebih kepada CARA yang digunakan penyihir untuk menyihir samada meniup, mencucuk, menanam, membakar, melayur, menikam dan sebagainya. Kaedah ini hanya diketahui oleh penyihir. 

________________________________________________________________

Jadinya nanti bila berlaku kes melibatkan sihir, anda boleh kenalpasti dengan membuat siasatan terlebih dahulu mengikut 3 langkah diatas. Tapi lebih baik serahkan pada mahkamah yang mempunyai pakar tersendiri untuk penentuan kes sihir. 3 langkah ini masih boleh diperbincangkan lagi dan ianya bersifat teori lagi.

Sebenarnya ini hanyalah permulaan sebelum masuk kepada perbahasan sebenar pengenalan Skala 48 GSP.



Atas ini adalah satu contoh. kaedah yang mudah untuk anda faham bagaimana langkah-langkah metodologi perlaksanaan sihir.

OK, 3 langkah diatas hakikatnya masih sukar untuk dikenalpasti oleh hakim atau peguam. Tambah bermasalah bila hakim atau peguam tidak mempunyai asas ilmu pengubatan islam.  Bagi memudahkan pengendalian kes ini. Ada satu pasukan penyelidikan telah membentuk satu mekanisma penentuan kes sihir. Sila rujuk diatas, poin 11 berkenaan skala GSP 48. Poin ini lagi menarik. nanti-nanti ada masa saya kongsikan ya

Selamat membaca.

Bawah ini saya sertakan link (google drive) untuk kertas kerja pembentangan dalam seminar.

https://drive.google.com/open?id=1a1OO75CGQQlfuQHN0Zm8u17X0HhgaE7T


Thursday 5 July 2018

PENGALAMAN SEMINAR PENGENDALIAN KES MAKHLUK HALUS

Alhamdulillah syukur dapat menghadiri seminar bertajuk "Pengendalian kes Di Mahkamah Syariah Yang Melibatkan Ganggun Makhluk Halus" bertarikh 4 & 5 Jun 2018 di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor. Seminar yang dihadiri lima orang tenaga pakar dalam membahaskan kes berkenaan gangguan makhluk halus ini sangat-sangat menarik kerana disamping mempunyai hidangan pembentangan kertas kerja yang menyegarkan, turut memenuhi ruangan peserta adalah terdiri dari pegawai-pegawai Mahkamah Syariah Negeri Selangor. Mereka yang pakar-pakar ini saya jumpa bincang dan meminta buah nasihat sebagai bekal profesion guaman akan datang. PUAS!



                                                   (Gambar rasmi seminar)


Bengkel 2 hari ini mengfokuskan, bagaimana sesuatu penghakiman melibatkan kes makhluk halus ini dijustifikasikan benar-benar berlaku. Kadangkala orang kebanyakan langsung tidak mempercayai, sukar mempercayai, menipu disihir, keliru antara masalah sihir dan kecacatan mental. Dan bermacam gaya fikir.

Namun seminar ini hadir menangkis setiap satu masalah-masalah yang timbul melibatkan perundangan. Sekaligus menerangkan apakah punca, simptom, kesan sihir dan elemen-elemen lain yang boleh menjadi bahan pembuktian.







                      (Penceramah menayangkan video ringkas petikan dari cerita 'SANTAU')

Video ini sekadar simulasi maya untuk menjelaskan kepada para peserta elemen-elemen sihir melibatkan punca, bahan, kaedah dan kesan kepada mangsa. Selepas sahaja sesi tayangan video. Dr Mahyuddin menerangkan 3 unsur penting dalam penentuan sesuatu kes melibatkan makhlus halus;

1. Khadam Sihir
2. Bahan Sihir
3. Kaedah Sihir

3 Unsur ini terhasil dari ijtihad berdasarkan Hadis Sohih Al-Bukhori berkenaan peristiwa Nabi Muhammad S.A.W disihir oleh Labid Ibn A'som.






         Dr Mahyuddin Ismail sedang menerangkan tentang beberapa kes yang terjadi  di mahkamah yang disyaki mempunyai unsur sihir.



Dr Mahyuddin sedang menceritakan 3 poin asas mengenalpasti penyakit mental. 
1. Tak tidur lebih 3 hari.
2. Dia mengulang perkataan sama banyak kali dalam 5 minit.
3. Berubah tabiat/perangai/personality dalam tempoh singkat.





(Bergambar bersama Dr Lukman Abd Mutalib, Pensyarah USIM. Beliau antara tenaga pengajar saya dalam subjek Undang-Undang Keterangan Islam. Bersebelahan beliau adalah Tuan Husni Za'im yang merupakan alumni KUIM (nama kini USIM). Sekarang sedang berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah  Sabak Bernam.






(Bersama dengan Dr Mahyuddin  Ismail, Pensyarah UMP. Beliau antara panel pendraf akta Jenayah Sihir. Yang duk pegang tu adalah buku penulisan beliau bertajuk “Ahli sihir ke tali gantung”)







(Gambar sedang bersahaja dengan seorang Dr dari UITM Jengka. Dr Abu Bakar menyelesaikan tesis Phd beliau dalam bidang percukaian. Beliau antara individu yang sempat saya sapa. Sangat menginspirasikan. Kerap beliau peringatkan agar sambung belajar sehingga Doktor falsafah.)


 Sekian

Terima Kasih






Sunday 3 June 2018

RELEVANSI TINDAKAN JAWI TERHADAP SITI KASSIM






Awam sudah pasti sangat mengenali manusia bernama Siti Kassim. Beliau sering kali menimbulkan isu dan tindak tanduk yang kontroversi. Kontroversi terhadap individu atau institusi yang asalkan berjenama islam atau kepada yang memperjuangkan agama islam.

Ada sahaja isu yang dibangkitkan. Dari isu penggunaan kalimah Allah kepada agama kristian, mempertahan hak LGBT, menyerang institusi agama islam seperti JAKIM, memperkotak katikkan isu RUU355 dan semalam beliau membuat kemunculan sekali lagi menerusi tularan media sosial.

Jika anda melihat video tersebut, barang pasti terkejut dengan aksi spontan siti kassim dan kekawan beliau terhadap tindakan yang dilakukan pihak pegawai penguatkuasa agama yang hadir menghalang acara ratu cantik yang DISYAKI terdiri dari orang islam.

Nah video tengok video yang tular tu;




Jom Teliti Relevansi Tindakan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA).

Sila fahami terma-terma ini terlebih dahulu:

Pegawai Peguatkuasa Agama (PPA)
Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (ATJSWP)
Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (AKJSWP)

Ada tiga perkara yang menjustifikasikan sebab tindakan PPA itu sebagai relevan.

PERTAMA, pihak PPA menerima aduan dari orang awam yang mengkhabarkan tentang acara pertandingan ratu cantik. Laporan yang diberikan oleh orang awam boleh menjadi justifikasi untuk pihak PPA bertindak menyiasat.  Seksyen 9, ATJSWP menjelaskan;

"Tiap-tiap orang yang mengetahui pelakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan hendaklah dengan serta-merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat tentang pelakuan atau niat itu."

So, salah ke tindakan PPA buat begitu? 

Kompom tidak salah kerana PPA menerima aduan dari awam. Satu lagi kedatangan mereka adalah untuk MENYIASAT, bukan untuk MENJATUHKAN HUKUMAN. Jika anda berada dalam situasi itu, merasakan berada pada pihak yang benar. Tidak perlu melenting marah atau pekik suara. Beri ruang pada PPA untuk menyiasat. 

KEDUA, tindakan PPA membuat serbuan terhadap acara pertandingan ratu cantik itu adalah dalam urusan yang dibenarkan undang-undang. Anda dengar tak dalam video itu siti kassim minta waran? ya bertubi-tubi minta waran. mana waran? mana waran? mana waran?




Sebenarnya perbuatan atau kesalahan yang dilakukan siti kassim itu adalah termasuk dalam 'kesalahan boleh tangkap'. Kesalahan boleh tangkap sebenarnya tidak memerlukan waran pun. 

Seksyen 2, ATJSWP ada terang berkenaan 'kesalahan boleh tangkap' yang berbunyi;

"-kesalahan boleh tangkap- ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran"

Nampak tak dimana pernyataan 'kesalahan' yang dikatakan boleh tangkap itu? Tak nampak kan. hehehe. Memang payah nak nampak 'kesalahan' tu.  Anda kena teliti semula pada pernyataan 'sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih'. 

Peryataan diatas menghendakkan kita untuk melihat apakah jenis-jenis kesalahan sehingga membolehkan seseorang itu dipenjarakan setahun atau lebih dari itu. Maka rujukan kita seterusnya adalah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Akta ini akan jelaskan apakah jenis kesalahan yang membolehkan tertuduh dikenakan penjara satu tahun atau lebih. 

Oleh itu, dalam kes mak cik siti zabedah kassim ini adalah kerana mereka melanggar fatwa yang telah diwartakan wilayah persekutuan. Sila sambung pada poin ketiga....... 

Sebab KETIGA yang membenarkan kerelevenan tindakan PPA adalah kesalahan yang dilakukan oleh siti kassim dan sekutunya iaitu kesalahan menerusi perlanggaran fatwa yang telah diwartakan. Mereka terlibat dengan acara pertandingan ratu cantik.  

Seksyen 9, AKJSWP menjelaskan;

"Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya."

Cuba anda lihat hukuman tu.


"tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun"

Ayat atas ini lah yang mempunyai hubungkait dengan poin PERTAMA yang telah penulis jelaskan sebenarnya termasuk dalam 'kesalahan boleh tangkap' menurut seksyen 9, ATJSWP.

Wilayah persekutuan menerusi cadangan Mufti wilayah pada 8 Februari 1996 telah mewartakan fatwa bahawasanya, adalah suatu kesalahan bagi seseorang muslim menyertai, menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan dalam acara pertandingan ratu cantik. 





                   
                          (Sila rujuk link: http://efatwa.muftiwp.gov.my/?search=ratu+cantik&search kategori=&tahun=&search-status= )


Konklusinya, kehadiran PPA adalah untuk membuat siasatan, samada wujud atau tidak perlanggaran undang-undang jenayah islam. Itu sahaja. Keadilan sesuatu penghakiman sangat bergantung kepada proses penyiasatan.

Umat islam dan seluruh rakyat sewajarnya tenang dan jangan menganggu sebarang proses mahkamah. Kita pakat doakan kebenaran tertegak.



Jom berkenalan

Selamat datang ke Galeri Rokam.


Moga kedatangan teman-teman semua menceriakan dan menyuntik semangat untuk saya terus berkongsi kebaikan dalam blog. ^-^

Blog ini merupakan inisiatif awal saya untuk menceburi bidang penulisan dan paling penting saya minat saya untuk  kongsikan kepada anda semua isu-isu berkaitan Kehakiman Syariah di Malaysia.

Memandangkan masing-masing orang punya 'passion' tersendiri dalam bidang ilmu mereka. Tidak terlepas juga saya. Act, saya lebih suka membaca, berbincang, bertanya dan bersama dalam isu kewangan islam yang saya kira sangat dinamik dan kompleks. Perbankan, Konvensional, Riba, Zakat Saham, zakat harta galian atau harta 'karun', Sukuk, BNM, Khazanah dsbnya.

Tapi bila fikir semula, jauh betul dengan profesion kerjaya masa hadapan.

Oleh itu, bagi menyalurkan energi, tumpuan dan fokus profesion untuk masa hadapan. Saya mengabungkan urusan kehakiman syariah dan kewangan islam. Maka, in shaa allah halaman ini 'mungkin'  terlebih fokus pada isu-isu seperti pengurusan harta pusaka seperti Hibah, Wasiat, Zakat. Harta Amanah dan Pusaka.

Namun saya tetap akan menyentuh juga pasal isu-isu kehakiman syariah islam.

Opss, satu lagi. detik ini saya masih pelajar Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) di USIM. Gambar dibawah adalah kelas bersama Puan Saadiah. BerMoot Court.

Selamat membaca

BOLEH KE HIBAH HARTANAH YANG DALAM HUTANG

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA HIBAH HARTANAH BERCAGAR Baru ni saya hadir satu pembentangan kertas kerja bertajuk  Hibah Hartanah Berc...